PELABUHAN KLANG: Gangguan bekalan air bermula semalam di Selangor, menjadi cabaran tambahan kepada operasi mengawal kebakaran oleh pasukan bomba dan penyelamat di kawasan terjejas.

Itu antara cabaran dihadapi pasukan terbabit ketika melakukan kerja pemadaman kebakaran kedai kelas B di Jalan Kem di sini pagi tadi, apabila terpaksa membawa bersama dua lori tangki ke lokasi.

Dalam kejadian jam 10 pagi itu, bangunan kedai dua tingkat berusia lebih 50 tahun, musnah sepenuhnya.

Komander Operasi, Nadzari Mazyani, mengakui pihaknya sudah maklum mengenai gangguan bekalan yang dialami dan bersedia dengan pelan sokongan.

“Memandangkan Klang antara kawasan yang mengalami gangguan bekalan air di Selangor, pada awalnya kami mengalami sedikit kesukaran ketika menjalankan proses pemadaman kebakaran.

“Kami terpaksa mendapatkan bekalan air dari North Port dengan dua lori tangki bomba berulang alik mengangkutnya ke lokasi kebakaran.

“Menerusi usaha itu, bekalan air tidak terputus, sekali gus membolehkan api dipadamkan sepenuhnya dalam tempoh 40 minit,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pelabuhan Klang, Penolong Kanan Penguasa Bomba Juyana @ Azlan Musa, berkata dalam operasi itu, pihaknya membawa lori tangki berkapasiti 20,000 liter air.

“Dalam kerja pemadaman kebakaran tadi, dua lori tangki digunakan bagi membantu empat jentera bomba,” katanya.

Mengulas kebakaran itu, beliau berkata, pihaknya menerima panggilan jam 10.06 pagi sebelum tiba di lokasi tujuh minit kemudian.

“Kebakaran ini membabitkan tiga kedai yang masih beroperasi iaitu salun rambut, kedai video dan peralatan memancing manakala dua lagi kedai kosong,” katanya – berita harian