KUALA LUMPUR : Gangguan keterlaluan manusia terhadap sifat semula jadi alam serta aktiviti manusia yang menggunakan sumber alam untuk kepentingan perniagaan secara rakus telah menyebabkan dunia hari ini berdepan peningkatan krisis bencana alam.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah bertitah, hutan dan pokok yang selama ini berperanan penting mengawal perubahan iklim dan pemanasan global, selain sebagai perlindungan sumber air, pengurangan hakisan tanah serta pengawalan banjir, kini tidak lagi dititikberatkan tujuan utama kewujudannya.

Sebaliknya titah baginda, ia dilihat sebagai sumber menghasilkan kayu untuk dijual bagi memperoleh kekayaan menyebabkan kegiatan pembalakan termasuk pembalakan haram semakin berleluasa ekoran didorong oleh nafsu haloba.

“Tanpa pokok dan hutan, hilang segala manfaat rimba raya, berkurang spesies tumbuhan dan haiwan, rosak habitat semula jadi, terputus sistem rantaian makanan dan terancam kehidupan manusia.

“Begitu pentingnya peranan pokok dan menanam pokok dimanifestasikan dalam hadis Rasulullah yang bermaksud: Jika terjadi hari kiamat, sementara di tangan salah seorang daripada kamu ada sebiji benih tanaman, maka jika dia mampu sebelum terjadi hari kiamat untuk menanamnya, maka tanamlah,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika berkenan melancarkan buku bertajuk ’40 Hadis Pelestarian Alam Sekitar’ yang dihasilkan oleh dua tokoh akademik iaitu Prof Datuk Seri Dr Ir Zaini Ujang dan Prof Datuk Dr Zulkifli Mohd Yusoff di Universiti Teknologi Malaysia kampus Kuala Lumpur di sini hari ini.

Menyentuh tentang pencemaran sungai di negara ini, Sultan Perak bertitah, mengikut data dikeluarkan Jabatan Alam Sekitar, Malaysia telah kehilangan 102 sungai dalam tempoh 10 tahun, menjadikan kini hanya 477 sungai masih ada.

Daripada jumlah itu, hanya 219 sungai dalam kategori bersih, 207 sungai kategori separa cemar dan 51 sungai lagi dalam kategori tercemar.

Sultan Nazrin berkongsi pengalaman peribadi dan menyaksikan sendiri pencemaran sungai yang berlaku ketika bersama anakanda, Raja Azlan Muzaffar Shah menyusuri Sungai Perak dari Pasir Salak hingga ke Teluk Intan semasa Istiadat Pertabalan Sultan Perak ke-35 pada 2015.

“Mungkin bertujuan untuk mengatasi jemu perjalanan, paduka anakanda beta yang ketika itu berusia 7 tahun memilih untuk menghitung botol-botol plastik yang dilihat terapung di permukaan sungai dan dalam tempoh dua jam menyusuri perjalanan sepanjang 65 kilometer, hitungan beliau menunjukkan 700 botol plastik, terapung-apung di permukaan Sungai Perak,” titah baginda.

Sehubungan itu, baginda berharap agar semua pihak agar dapat menjaga dan memulihara alam sekitar yang merupakan satu tuntutan syarak serta fardu kifayah dan tidak mengharap kepada kerajaan semata-mata untuk berbuat demikian.

Justeru, baginda amat menghargai usaha dua tokoh akademik berkenaan yang menyuntik dimensi agama untuk menyedarkan umat Islam supaya lebih prihatin dan proaktif terhadap pelestarian alam sekitar menerusi penerbitan buku yang mendapat sokongan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia itu.

“Surau, madrasah, pusat tahfiz, sekolah dan pelbagai institusi pendidikan sewajibnya berada di barisan hadapan, menjuarai usaha untuk menyedarkan ummah mengenai alam sekitar dan menggerakkan ummah untuk memulihara alam sekitar secara konsisten setiap masa,” titah baginda.

Sultan Nazrin pada pelancaran itu turut memuji usaha seorang anak muda, Ahmad Iszuddin Ahmad Izham, 13, penerima anugerah Yayasan Tuanku Bainun tahun ini atas usahanya melindungi penyu dengan cara tersendiri termasuk mengarang buku resipi, ‘In The Kitchen With Iszuddin’ dan menghasilkan 15,000 keping kuih dengan hasilnya disumbangkan untuk tujuan itu..

Baginda bertitah, usaha yang dirintis dua tokoh akademik dan anak muda seperti Iszuddin itu perlu dijadikan inspirasi oleh anggota masyarakat dalam menghadapi cabaran menangani masalah pemuliharaan alam sekitar kerana melaksanakan usaha kecil adalah lebih bermakna daripada bersifat pasif dan berdiam diri. -BERNAMA