IPOH: Armada Bersatu Perak menyokong penuh keputusan Majlis Armada Nasional untuk menggantung jawatan anggota Armada yang terlibat dalam penahanan pihak polis baru-baru ini.

Ketuanya, Mohd Hafez Mubin Mohd Salleh berkata, mana-mana individu, tanpa mengira pangkat atau kedudukan adalah tertakluk kepada undang-undang negara ini dan perlu melalui proses siasatan sekiranya didakwa terlibat dalam sebarang salah laku.

Menurutnya, ia juga bukti bahawa Armada Bersatu tidak akan sesekali berkompromi terhadap sebarang perbuatan ahlinya yang bertentangan dengan peruntukan undang-undang.

“Armada Bersatu Perak yakin siasatan yang membabitkan dua anggota Armada tersebut serta tindakan menggantung mereka sehingga siasatan dimuktamadkan, tidak sedikit pun menjejaskan perjalanan Armada Bersatu yang bergerak di atas kekuatan sebuah pasukan dan bukannya disandarkan kepada mana-mana individu.

“Keutuhan dan kekuatan parti perlu senantiasa dijunjung sebagai agenda teras dan prioriti,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ketua Armada Bersatu Malaysia Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hari ini mengesahkan jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri Dengkil Adhif Syan Abdullah sebagai Ketua Armada Selangor digantung berkuat kuasa serta-merta.

Dalam kenyataanya, Menteri Belia dan Sukan itu berkata Majlis Ketua Armada Nasional memutuskan penggantungan itu berterusan sehingga siasatan polis berkaitan kes dadah itu selesai.

Turut digantung jawatan ialah Penolong Setiausaha Armada Nasional Ahmad Redzuan Shafi.

Pada Isnin lepas, Adhif Syan, dan empat pegawai khas ahli politik, antara 17 individu ditahan polis dalam satu operasi di sebuah kondominium di Jalan Puchong jam 4.45 pagi.