TAIPING- Gara-gara dipercayai melekatkan gula-gula getah di sebuah kereta, seorang kanak-kanak dipukul beberapa kali di bahagian tengkuk oleh pemilik kereta tersebut.

Video kejadian yang tular sejak semalam itu dikatakan berlaku di Rumah Kanak-Kanak Taiping dan memaparkan seorang lelaki memukul kanak-kanak lelaki berulang kali.

Menurut Pemangku Ketua Polis Daerah Taiping, Suprintenden Razlam Ab Hamid, pada jam 8.30 malam pengadu telah melihat video di satu laman Facebook berhubung kejadian itu dan meminta pihak berkuasa menyiasat perkara tersebut.

“Melalui video tersebut di percayai kejadian berlaku di Rumah Kanak-Kanak Taiping, Jalan Stesen Hulu, Taiping, Perak. Pengadu merasa tidak puashati kerana perbuatan tersebut sepatutnya tidak berlaku dan meminta pihak berkuasa menyiasat dan seterusnya mengambil tindakan sepatutnya.

“Melalui video yang di paparkan menunjukkan suspek telah memukul mangsa menggunakan tangan beberapa kali di bahagian belakang tengkuk mangsa kerana dipercayai mangsa melekatkan gula getah di kereta suspek.

“Dipercayai mangsa adalah salah seorang yang menginap di rumah kanak-kanak tersebut,”katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Katanya lagi, siasatan telah dijalankan dan kes disiasat di bawah seksyen 323 Kanun Keseksaan.