SERI ISKANDAR: Gara-gara memasukkan lima jari di lubang kerusi plastik seorang kanak-kanak perempuan terpaksa menahan kesakitan selama 10 minit apabila jarinya tersepit, sebelum berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba di Jalan Maju Setia 2, Taman Maju dekat sini.

Bagaimanapun, kanak-kanak yang berumur 7 tahun itu tidak mengalami sebarang kecederaan, hanya bengkak di jari kiri dan kanannya.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 5.12 petang.

“Menurut ibunya, kanak-kanak itu dikatakan bermain-main dengan kerusi plastik itu dan memasukkan lima jarinya (beberapa dari tangan kanan dan kiri) tiba-tiba jarinya tersangkut dan tidak boleh dikeluarkan dengan sendiri.

“Komander operasi mengarahkan anggota menggunakan peralatan khas untuk memotong kerusi tersebut, memandangkan ada jari yang tidak boleh dikeluarkan menggunakan minyak,”katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Operasi yang diketuai oleh PBK II Roslan Ahmad itu tamat sepenuhnya pada pukul 5.40 petang.