KOTA KINABALU: Gas ammonia disyaki punca seorang pekerja kapal maut, manakala seorang kritikal selepas terhidu gas beracun di Jeti Lok Poring, Sepanggar, di sini, kelmarin.

Bagaimanapun, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Kamarulzaman Malik Abdullah, berkata pihaknya masih menunggu keputusan analisis daripada makmal.

“Siasatan di lokasi sudah dibuat dan gas beracun itu disyaki gas ammonia kerana biasanya untuk kegunaan ikan memerlukan ais selalunya menggunakan bahan ammonia.

“Sampel sudah diserahkan kepada polis untuk dihantar ke Jabatan Kimia untuk analisis,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, analisis itu mungkin mengambil masa beberapa hari bagi mengetahui jenis gas beracun terbabit.

“Analisis makmal belum keluar dan mungkin ambil masa dua hingga tiga hari,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari kelmarin, Hasrul La Ridi, 42, meninggal dunia di lokasi kejadian ketika melakukan kerja memunggah peti ikan untuk dihantar ke kilang baja di Sepanggar.

Dua lagi rakannya, iaitu La Eni, 31, dalam keadaan kritikal dan sedang dirawat di Hospital Likas manakala La Ace, 36, hanya cedera ringan – Berita harian