GEORGETOWN: Dua individu yang dilihat memakai gelang merah jambu di kawasan parkir Bukit Bendera dekat Air Itam di sini, disahkan bukan berstatus Di bawah Pengawasan (PUS) COVID-19.

Malah gelang merah jambu yang dipakai mereka adalah gelang tangan dari sebuah kedai haiwan peliharaan dengan tulisan ‘Husky And The Gang’.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong, berkata terdahulu pada 2 Ogos, pihaknya menerima aduan orang awam yang melihat seorang lelaki dan wanita memakai gelang merah jambu di kawasan parkir bukit peranginan itu pada jam 3.25 petang.

Katanya, pengadu kemudian mengambil gambar pasangan berkenaan lalu membuat laporan di balai polis berhampiran sebelum identiti mereka dikesan.

“Siasatan mendapati, lelaki berusia 21 tahun itu bekerja sebagai operator kilang dan tinggal di Permatang Tengah, Butterworth.

“Manakala wanita berusia 22 tahun dari Sungai Puyu, Butterworth itu pula bekerja sebagai pembantu kedai dan mereka adalah pasangan kekasih serta tiada rekod jenayah lampau,” katanya kepada NSTP, hari ini.

Mengulas lanjut, Soffian berkata, siasatan polis mendapati, pada jam 12.30 tengahari hari berkenaan, pasangan itu mendakwa ke kedai haiwan peliharaan di New World Park di sini sebelum dipakaikan tag atau gelang tangan berwarna merah jambu bertulisan ‘Husky And The Gang’ oleh pekerja kedai terbabit.

Berikutan pasangan itu mahu ke kedai haiwan berkenaan semula pada sebelah malam, mereka tidak menanggalkan gelang terbabit, mengikut syarat yang ditetapkan premis itu.

“Pasangan itu mengakui bahawa mereka adalah individu di dalam foto tular berkenaan serta mengakui tidak pernah ke luar negara.

“Mereka berada di kaunter stesen keretapi Bukit Bendera pada jam 3 petang pada hari berkenaan dan menunggu giliran selama satu jam bagi membeli tiket.

“Berikutan menunggu terlalu lama, mereka mengambil keputusan untuk beredar sebelum pergi ke pusat beli belah Queensbay,” katanya lagi.

Sementara itu Soffian berkata, semakan menerusi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati nama kedua-duanya tiada dalam senarai PUS atau diarahkan menjalani kuarantin di rumah.

“Sehubungan itu, individu yang perlu menjalani kuarantin di rumah diminta mematuhi arahan berkenaan dan orang ramai juga perlu terus mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dengan memakai pelitup muka serta penjarakan fizikal di tempat tumpuan awam,” katanya lagi.