SLIM RIVER – Penantian kariah Masjid Felda Gunung Besout 1 untuk mendapat van jenazah sendiri untuk kegunaan kariah kawasan itu berakhir apabila menerima kemudahan itu dari sumbangan Ahli Parlimen Tanjung Malim.

Setiausaha Masjid Felda Gunung Besout 1, Sulaiman Anang, 67, berkata, sebelum ini, pihak masjid mempunyai van jenazah namun ia dalam keadaan terlalu uzur dan berusia lebih 20 tahun.

Katanya, van jenazah itu juga sering mengalami kerosakan sehingga menyukarkan urusan pengebumian jenazah penduduk di kawasan tanah rancangan itu.

“Pernah sekali, ketika ketika pihak masjid mahu menggunakan van jenazah tersebut untuk membawa jenazah ke tanah perkuburan rosak di tengah jalan menyebabkan kami terpaksa membaiki terlebih dahulu.

“Selain itu juga, urusan pengebumian penduduk terpaksa tergendala akibat masalah teknikal,” katanya

Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan van jenazah di perkarangan Masjid Felda Gunung Besout 1, di sini.

Hadir sama, Ahli Parlimen Tanjung Malim, Datuk Seri Ong Ka Chuan.

Sulaiman berkata, hasrat kariah Masjid Gunung Besout 1 untuk memiliki sebuah van jenazah tertunai dan pihaknya berterima kasih kepada ahli parlimen atas sumbangan itu.

Ka Chuan berkata, dia terpanggil untuk tampil memberikan sumbangan van jenazah apabila melawat sebuah Masjid di Behrang 2020 yang memerlukan van jenazah.

Katanya, pihak kariah di kawasan itu terpaksa mengutip derma orang ramai sehingga tiga tahun namun hanya dapat mengutip peruntukan cuma 20 peratus sahaja daripada jumlah yang diperlukan.

“Berikutan itu saya sebagai Ahli Parlimen perlu melakukan sesuatu dan kemudahan ini boleh digunakan untuk satu jangka masa panjang serta memenuhi keperluan penduduk ditambah pula keadaan van jenazah di Besout ini sudah lama lebih 20 tahun.

“Walaupun berbeza agama, ia sudah tanggungjawab saya membantu pihak Masjid Gunung Besout 1 untuk mendapat van jenazah untuk kegunaan umat Islam di kawasan itu dan ini merupakan salah satu tugas pemimpin membantu rakyat,” katanya -sinar