BENTONG: Penghuni asrama di Institut Aminuddin Baki (IAB), Genting Highlands, di sini, gempar apabila sebahagian jalan utama di institut itu runtuh awal, pagi tadi.

Kejadian kira-kira jam 1.30 pagi itu disedari pengawal keselamatan institut berkenaan dan bagaimanapun ia tidak membabitkan kemalangan jiwa.

Pegawai Jabatan Pertahanan Awam Bentong, Leftenan (PA) Mohd Zulkhairi Adek Awang berkata, runtuhan sedalam 30 meter itu berlaku di jalan utama dari asrama induk kuarters perumahan baru ke Menara IAB.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

“Punca kejadian masih lagi dalam siasatan dan kita sudah memutuskan bekalan elektrik buat sementara waktu berikutan terdapat kabel elektrik di kawasan runtuhan.

“Runtuhan berkenaan menyebabkan berlaku kerosakan pada struktur serta sebuah pondok senaman berhampiran kawasan itu,” katanya.

Beliau berkata, ketika kejadian cuaca dilaporkan baik serta tidak berlaku hujan dan difahamkan pihak bomba masih melakukan siasatan sekiranya ada berlaku paip pecah.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Bomba Pahang, Mohd Sani Harun berkata, pihaknya masih memantau kawasan berkenaan sekiranya berlaku runtuhan susulan serta mengenalpasti punca kejadian.

“Laluan berkenaan tidak boleh dilalui dan ditutup untuk semua jenis kenderaan. Kita juga sudah mengarahkan satu bangunan yang berada pada jarak 10 meter dari kawasan kejadian dikosongkan bagi mengelak sebarang risiko,” katanya – berita harian