KUALA LUMPUR: Kementerian Wilayah Persekutuan akan menggempur kawasan pasar borong di sekitar ibu negara bagi membongkar pembabitan kongsi gelap yang mengutip wang perlindungan daripada peniaga.

Menterinya, Khalid Abdul Samad, berkata operasi bagi ‘membersihkan’ pasar borong daripada elemen jenayah akan dilaksanakan secara bersepadu bersama beberapa kementerian lain.

Bagaimanapun, beliau tidak menjelaskan lebih lanjut bila operasi berkenaan akan dijalankan kerana perkara tertentu perlu dibincangkan sebelum dilaksanakan.

“Kongsi gelap ini kita akan cerahkan supaya kita nampak mereka. Kita akan dedahkan dan ambil tindakan.

“Tapi kita kena faham, nak menangani masalah yang sudah lama bertapak ini bukan perkara yang boleh dilakukan dengan serta-merta.

“Ini usaha bersepadu antara Kementerian Wilayah, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Kementerian Luar dan sebagainya. Dan, akan kita susun serta aturkan dengan sebaik mungkin,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau mengulas laporan eksklusif BH hari ini yang mendedahkan kumpulan kongsi gelap menjadi pelindung kepada pendatang asing di kebanyakan pasar borong di Lembah Klang bagi memastikan perniagaan mereka kebal daripada tindakan pihak berkuasa.

Antaranya, di Pasar Borong Lama Selayang dengan sekurang-kurangnya 80 peniaga warga asing dipercayai bernaung dengan kumpulan kongsi gelap sehingga berupaya memonopoli tapak perniagaan haram di luar bangunan utama pasar.

Mengulas lanjut, Khalid berkata, peniaga tempatan juga diharap tidak menjual lesen atau menyewakan tapak mereka kepada warga asing bagi mengurangkan masalah mereka menguasai tapak berlesen.

“Jika amalan itu sedemikian diteruskan, maka bila operasi dijalankan, mereka akan kehilangan lesen,” katanya – Berita harian