Ipoh: Lima termasuk seorang wanita anggota Geng Farid Temara direman mengikut Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 selepas disyaki terbabit dalam kegiatan curi motosikal di sekitar Ipoh, sejak enam bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, kesemua suspek yang berusia lingkungan 25 hingga 30 tahun dan tidak bekerja itu ditangkap berasingan pada 6 Oktober lalu susulan satu laporan kecurian sebuah motosikal oleh seorang pekerja pusat beli-belah di sini, bulan lalu.

Katanya, semua suspek sebelum ini direman mengikut Seksyen 397A Kanun Keseksaan sebelum direman semula di bawah POCA, selama 21 hari bermula semalam.

“Polis memulakan siasatan selepas seorang pekerja pusat beli belah membuat laporan kecurian motosikal Honda EX5 miliknya dianggarkan bernilai RM2,000 yang diletak di tempat letak kereta kira-kira jam 11 malam pada 22 September.

“Hasil siasatan polis berjaya mengesan dan merampas tiga rangka motosikal yang dibuang ke dalam sebuah lombong di Pasir Puteh di sini selepas komponen penting diambil oleh geng itu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh di sini, hari ini.

A Asmadi berkata, polis berjaya menyelesaikan 19 kes curi motosikal di Ipoh berikutan tertangkapnya lima ahli geng berkenaan dengan empat daripadanya mempunyai rekod jenayah lampau.

“Kini polis giat mengesan ahli lain kumpulan itu,” katanya. Dalam kes berasingan, A Asmadi berkata, pihaknya menahan seorang lelaki berusia 33 tahun, Khamis lalu kerana terbabit dengan kegiatan pecah cermin kereta di sekitar bandar raya Ipoh sejak Julai lalu.

Katanya, hasil siasatan mendapati suspek mengaku terbabit dengan 25 kes pecah cermin di sekitar Pekan Bharu, Pekan Lama, Jalan Bendahara dan Pasir Puteh di sini.

“Pada 30 September lalu, polis menerima laporan mengenai kejadian pecah cermin kereta berhampiran sebuah restoran di Jalan Panglima dan pengadu kehilangan komputer riba serta pelbagai dokumen peribadi dengan nilai kerugian RM24,000.

“Bertindak atas maklumat, kita berjaya menahan suspek di sebuah rumah di Flat Waller Court di sini.

Polis turut menahan seorang lelaki berusia 25 tahun di flat sama yang juga pembeli barang curi hasil kegiatan pecah cermin kereta dan kemudian menjualnya di Pasar Karat Loken di sini.

Menurutnya, kedua-dua suspek direman empat hari sehingga Isnin ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan dan Seksyen 457 kanun sama.