Polis menahan lima lelaki Geng Husen Lempoyang, disyaki dalang lima kes pecah rumah yang membabitkan kerugian RM100,000 di Raub, sejak bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, semua suspek ditahan di tempat letak kereta awam Jalan Dato Abdullah di sini, pada 2 petang kelmarin.

“Hasil maklumat, suspek berusia 26 hingga 44 tahun ditahan Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub selepas kawasan berkenaan dikepung.

“Kita turut merampas beberapa alat pecah rumah seperti tukul, pemutar skru, gerudi, pahat, pemotong kabel dan sebuah kereta Proton Gen 2,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Susulan tangkapan itu, beliau yakin dapat menyelesaikan beberapa kes pecah rumah di sekitar bandar ini yang dilaporkan sepanjang bulan lalu.

Katanya, siasatan awal mendapati, suspek melakukan jenayah itu antara 12 tengah malam hingga 4 pagi.

Wan Mohd Zahari berkata, pihaknya juga menyiasat sama ada kereta dirampas kenderaan curi atau dibeli suspek di pasaran gelap.

“Siasatan lanjut masih diteruskan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah,” katanya – hmetro