KAMPAR: Polis berjaya menahan lapan anggota kumpulan Geng Wan Tod yang dipercayai bergiat aktif melakukan jenayah pecah kedai telefon bimbit di sekitar daerah ini sejak sebulan lalu.
Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Ng Kong Soon berkata, semua suspek termasuk seorang wanita berusia 19 tahun, diberkas di lapan lokasi berbeza di Gopeng dan Simpang Pulai pada 6 September lalu.
Menurut beliau, berdasarkan siasatan awal, suspek berusia antara 14 hingga 22 tahun itu dipercayai terlibat dalam lima kes termasuk tiga cubaan memecah masuk kedai telefon bimbit di Gopeng membabitkan kerugian kira-kira RM11,000.
“Sewaktu tangkapan dibuat, polis merampas tujuh buah telefon pintar pelbagai jenama, sebuah tablet, sebuah power bank, pemotong besi, pakaian dan sebuah kereta yang dipercayai digunakan sewaktu melakukan jenayah.
“Nilai rampasan tersebut dianggarkan sebanyak RM4,000 dan siasatan mendapati mereka telah menjual tiga telefon pintar yang dicuri kepada beberapa orang pembeli baru-baru ini,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kampar di sini pada Selasa.
Kong Soon berkata, modus operandi kumpulan itu ialah memasuki kedai pada awal pagi dengan memecahkan cermin dan memotong rantai besi sebelum melarikan telefon pintar di dalam premis berkenaan.
Jelasnya, siasatan juga mendapati kumpulan tersebut diketuai oleh remaja berusia 17 tahun dan aktif melakukan kegiatan pecah kedai di sekitar Ipoh dan Kampar sejak sebulan lalu.
“Dua suspek masih bersekolah manakala enam lagi tidak bekerja. Selain itu, tiga daripada lapan suspek mempunyai rekod jenayah lampau termasuk kes dadah.
“Kesemua suspek ditahan reman selama seminggu sehingga semalam dan kita akan mendakwa mereka di Mahkamah Majistret Kampar hari ini,” katanya.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah dan mencuri yang membawa hukuman penjara tidak kurang sehingga lima tahun dan denda.