IPOH: Polis Perak akan meningkatkan pengawasan terhadap semua sekolah di negeri ini yang telah dikenal pasti sebagai sekolah “hotspot” melibatkan ke salah laku dan disiplin khususnya gengsterism di kalangan pelajar.

Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Perak, SAC T. Selvan berkata, guru-guru disiplin di sekolah-sekolah berkenaan juga telah diminta untuk menyalurkan maklumat kepada pihaknya secepat mungkin sekiranya terdapat kes buli dan gengsterism di dalam sekolah.

“Polis juga telah memulakan jerayawara (road show) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) di mana kita memberi taklimat kepada guru-guru disiplin dan pegawai perhubungan sekolah mengenai cara-cara untuk mengekang masalah ini.

“Mereka juga telah dimaklumkan untuk menyalurkan terus kepada pihak berkuasa sekiranya ada kes-kes begini kerana kita tidak mahu isu ini disapu ke bawah karpet, kita mahu tahu mengenainya seawal yang mungkin supaya genjala-genjala ini dapat dibendung,” katanya kepada sidang media selepas menyempurnakan program kepolisian komuniti di Menglembu di sini pada Khamis.

Selvan turut menggesa ibu bapa memainkan peranan penting dan memberi kerjasama untuk membendung masalah berkenaan di kalangan pelajar.

“Saya gesa ibu bapa mainkan peranan mereka untuk memantau serta mendidik anak-anak bagi memastikan mereka tidak memberi peluang kepada pembuli untuk membuli.

“Mereka juga boleh membangkitkan isu ini ketika mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) kerana pihak kita akan turut serta dalam mesyuarat itu,” ujar beliau.

Pada Rabu, Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Dr Khair Mohamad Yusof berkata pihaknya telah mengenal pasti sebanyak 402 sekolah rendah dan menengah di seluruh negara sebagai sekolah “hotspot” melibatkan kes salah laku dan disiplin.

Daripada jumlah itu, sebanyak 30 sekolah dari Perak telah dikenal pasti dalam senarai tersebut.