KUALA LUMPUR : Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai menyatakan sokongannya terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri demi kestabilan politik, ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

Lau menerusi satu kenyataan pada Selasa, meluahkan rasa kesal dengan keadaan ketidaktentuan politik dalam negara.

“Negara perlu diterajui dan pentadbiran kerajaan tidak boleh terhenti. Ia akan memberi impak yang besar pada ekonomi negara.

“Malah, makluman yang diterima berkaitan prestasi saham negara semalam juga akan turut terkesan. Oleh yang demikian, kerajaan perlu segera pulihkan situasi ini dalam tempoh yang singkat.

“Dan dengan itu, Gerakan menyokong penuh Dr Mahathir untuk terus kekal sebagai Perdana Menteri negara demi memulihkan dan menstabilkan negara,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Katanya, memandangkan Dr Mahathir telah mendapat sokongan daripada parti pembangkang untuk terus kekal sebagai Perdana Menteri, beliau boleh membentuk kerajaan gabungan untuk menstabilkan keadaan negara sehingga pilihan raya umum akan datang

Selain itu, Lau juga mengingatkan bahawa negara ini masih lagi terkesan dengan penularan wabak koronavirus COVID-19.

Beliau berkata, peniaga dan rakyat sedang menanti pakej rangsangan ekonomi yang dijanjikan kerajaan demi meringankan beban perniagaan dan ekonomi selain mengurangkan tekanan hidup masyarakat.

“Oleh itu, Dr Mahathir perlu segera bentuk kerajaan untuk kelangsungan pentadbiran kerajaan negara,” katanya.

Beliau turut menggesa pihak Polis Diraja Malaysia untuk terus menjaga keamanan negara dan memberi khidmat terbaik demi ketenteraman awam manusia sejagat.

Lau juga menasihatkan orang ramai agar tidak mengambil kesempatan menimbulkan kekacauan dalam negara.

Selain itu, beliau menyuarakan kekaguman dengan kesabaran rakyat sepanjang dua hari ini dalam menghadapi ketidaktentuan politik dalam negara.