KOTA KINABALU: GERAKAN Sabah akan terus memastikan negeri ini kekal ditadbir Barisan Nasional (BN) selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), walaupun jika permintaan parti itu mendapat kerusi tambahan tidak menjadi kenyataan.

Ketua Perhubungannya, Datuk Gordon Leong, berkata parti itu mempunyai sokongan kuat di peringkat akar umbi dan sentiasa bekerja untuk rakyat.

Katanya, parti itu mempunyai rekod prestasi yang baik di Sabah apabila menyumbang dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing di Tanjong Papat dan Elopura dalam pilihan raya lalu.

“Gerakan berada di Sabah selama 22 tahun dan diperuntukkan dua kerusi pada PRU-13 dengan kedua-duanya kita menang.

“Dengan rekod ini, kami berharap diberikan kerusi tambahan tetapi ia terpulang kepada kebijaksanaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk memutuskan apa yang terbaik untuk BN di Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas tinjauan mesra sempena Tahun Baharu Cina di Tamu Jalan Gaya, di sini, hari ini.

Ketika ini, kerusi DUN Tanjong Papat disandang Naib Presiden parti itu, Datuk Seri Raymond Tan Shu Kiah yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah, di samping kerusi Elopura dimenangi Datuk Au Kam Wah.

Ditanya mengenai sentimen rakyat terutama dalam kalangan masyarakat Cina terhadap GERAKAN dan BN khususnya, Leong berkata, beliau menerima maklum balas positif – berita harian