TANJUNG MALIM: Gesaan Barisan Nasional (BN) untuk mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) dalam masa terdekat tidak mengeruhkan hubungan baik antara pempimpin-pemimpin kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, kenyataan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu juga tidak mengiyakan kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad menerusi blognya yang mendakwa BN cuba membolot kerusi Bersatu pada PRU akan datang.

“Saya tidak nampak apa yang dikatakan Ahmad Zahid telah mengeruhkan suasana ataupun mengiyakan apa dikatakan Tun Mahathir melalui blog beliau.

“Ini kerana perbincangan rundingan antara ketiga-tiga parti iaitu Bersatu, Pas dan UMNO dari segi pembahagian kerusi ini berjalan dengan amat baik,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan surat tawaran pembelian Rumah Perakku di Dewan Serbaguna Trolak Perak di sini, hari ini.

Menurutnya, walaupun pelbagai persepsi dibuat daripada kenyataan-kenyataan dari pemimpin PN, sebenarnya hubungan antara pemimpin ketiga-tiga parti itu sangat baik.

“Saya sendiri adalah salah seorang perunding yang mewakili parti saya, berunding dengan wakil-wakil daripada UMNO dan Pas.

“Hubungan kami cukup baik, perbincangan tidaklah seperti apa berlaku dalam parti yang baru hendak ditubuhkan, saya dengar dah mula berkecamuk, siapa nak jadi ketua bahagian dan sebagainya,” ujarnya.

Pada Khamis, Ahmad Zahid berkata,
PN tidak mempunyai pilihan lain selain perlu mendapat mandat baharu rakyat dengan mengadakan PRU dalam masa terdekat bagi membentuk sebuah kerajaan yang lebih kukuh.

Menurutnya, sokongan hanya 113 Ahli Parlimen di Dewan Rakyat meletakkan kedudukan PN tidak stabil serta terus dijaja sebagai kerajaan pintu belakang dan tebuk atap oleh pembangkang.