IPOH – Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu melahirkan rasa marah dan kecewa apabila mendapati sebuah syarikat GLC utama negeri sarat dengan beban hutang sehingga tidak mampu membayar gaji kakitangannya untuk bulan Julai.

Menurutnya, lebih mengecewakan syarikat GLC ini bergantung kepada kemudahan overdraf setiap bulan untuk membayar gaji kakitangannya seramai 100 orang menyebabkan syarikat terus dibebani hutang yang meningkat.

Kata beliau kerajaan Pakatan Harapan hari ini terpaksa mewarisi masalah daripada kemungkaran pentadbiran UMNO yang menyebabkan ketirisan amat serius.

Beliau berkata pentadbirannya kini dalam proses menyelesaikan masalah tersebut dengan meneliti semula perjanjian-perjanjian yang pernah dibuat oleh GLC itu untuk mencari ruang sekiranya rundingan semula boleh dibuat bagi membaiki masalah kewangan yang dihadapi.

Jelasnya lagi kerajaan negeri sedaya upaya akan cuba tidak memberhentikan mana-mana kakitangan kerana sedar pendekatan ini akan menyebabkan ramai lagi individu bakal kehilangan sumber punca pendapatan.

“Hari ini hasil daripada pentadbiran UMNO, GLC ini sudah tidak mampu membayar gaji akibat daripada sikap boros, kemungkaran dan sebagainya.

“Selama ini rupa-rupyanya mereka bayar gaji pekerja menggunakan kemudahan overdraf pihak bank, ini menambahkan beban kepada pentadbiran sekarang ini,” katanya pada sidang media selepas menghadiri majlis meraikan anak-anak yatim oleh Ipoh Royal Club, di sini pada Isnin.

“Saya berasa sangat marah dengan keadaan berlaku ini, kalau kita kurangkan perbelanjaan kita terpaksa buang kerja ramai orang, tetapi ramai pula keluarga takkan dapat pendapatan.

“Apa yang diperkatakan mantan Presiden UMNO (Datuk Seri Najb Razak) kalau UMNO tidak memerintah negara orang melayu akan jadi bangsat, saya nak sebut semula kepada rakan-rakan yang begitu taksub dengna kepimpinan (UMNO), melayu telah jadi bangsat kerana UMNO,” tegas beliau.

Tambah beliau, kerajaan negeri telah pun mengambil tindakan terhadap pihak pengurusan GLC itu termasuk memberhentikan mereka.

1/2