RTM tidak boleh dipersalahkan apabila tidak menyiarkan ucapan menteri pengangkutan, Anthony Loke dan menteri besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun di sebuah majlis baru-baru ini, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo.

Gobind berkata, prosedur operasi standard RTM menyatakan dengan jelas bahawa hanya ucapan perdana menteri disiarkan secara langsung melalui stesen berkenaan.

“RTM tidak boleh dipersalahkan kerana tidak mengudarakan ucapan seorang Menteri dan Menteri Besar Negeri Sembilan di majlis berkenaan, memandangkan YAB Perdana Menteri turut hadir dan berucap di majlis berkenaan.

“Maka RTM dalam mematuhi SOP, telah dengan tepat hanya menyiarkan ucapan perdana menteri secara langsung dalam majlis tersebut.

“Saya juga dimaklumkan, ini dilakukan dengan persetujuan pihak penganjur, iaitu Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan,” katanya dalam kenyataan baru-baru ini.

Beliau mengulas tindakan pegawai menteri pengangkutan, Lim Swee Kuan yang mempersoalkan sama ada wujud cubaan sabotaj kerajaan apabila RTM tidak menyiarkan ucapan Anthony Loke dan AMinuddin dalam siaran langsung program rumah terbuka Tahun Baru Cina peringkat kebangsaan di Seremban.

Loke kemudian kemudian berkata beliau tidak mengarahkan setiausaha akhbarnya itu supaya mendesak tindakan diambil kepada kakitangan RTM.

Bagaimanapun beliau program tersebut sepatutnya disiarkan secara langsung termasuk ucapannya dan Aminuddin.

Mengulas lanjut, Gobind berkata meskipun terdapat SOP, masih ada ruang bagi pihak penganjur berbincang dengan RTM untuk membuat perubahan kepada perkara-perkara yang perlu disiarkan secara langsung di sesuatu acara.

“Ini termasuklah memberikan liputan secara langsung bagi individu lain, lebih daripada apa yang tertera dalam SOP, berdasarkan nilai berita bagi sesebuah acara tersebut.

“Malangnya, dalam kes ini, tiada permintaan sebegitu dibuat,” katanya.

Gobind berkata sekiranya terdapat sebab kukuh beliau tidak akan teragak-agak untuk memberi teguran kepada sesiapa pun, dengan niat memperbaiki perkhidmatan di RTM.

“Namun dalam hal ini, RTM tidak melakukan apa jua yang salah,” tambah beliau – malaysiakini