MILAN: Cristiano Ronaldo meledak dua gol untuk menyelamatkan mata buat Juventus yang bermain 10 orang apabila seri 2-2 di Roma ketika Napoli membelasah Genoa 6-0 dalam Serie A awal pagi tadi.

Juara bertahan, Juventus ketinggalan 2-1 dan kekurangan seorang pemain selepas sejam di Stadio Olimpico selepas dua gol Jordan Veretout buat tuan rumah selain Adrien Rabiot dibuang padang.

Tapi tandukan Ronaldo menyamakan kedudukan pada minit ke-69 seterusnya mengelak kekalahan pertama buat jurulatih baharu Juventus, Andrea Pirlo.

“Ketinggalan menyukarkan keadaan tetapi kami berjaya mendapatkan mata penting,” kata Ronaldo.

“Kami berada di permulaan musim, dengan jurulatih baharu. Tapi pasukan bekerja dengan baik. Saya yakin dengan masa depan kami.

“Pirlo? Ia masih awal, tapi kami bekerjasama dengan baik dan itu penting.” – AFP