SERI ISKANDAR: Dalam kemeriahan menyambut hari kemenangan, Hari Raya Aidilfitri, kerajaan tidak pernah melupakan golongan yang kurang bernasib baik.

Terbaru, lapan orang menerima pelbagai jenis bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sempena Majlis Kesyukuran dan Aidilfitri Perak Tengah bersama Menteri Besar di pekarangan Pejabat Daerah dan Tanah Perak Tengah di sini, hari ini.

Sumbangan disampaikan Pegawai Khas Kanan Menteri Besar, Mohd Hafiz Mubin Mohd Salleh yang mewakili Menteri Besar.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru yang juga ADUN Tronoh, YB Yong Choo Kiong dan Pegawai Daerah Perak Tengah, Muhamad Ghopran Yeop Hamzah.

 

Menurut Muhamad Ghopran, lebih 60 juadah disediakan secara gotong royong oleh pelbagai pihak di daerah ini.

Kira-kira 2,000 warga Perak Tengah menghadiri majlis itu yang diadakan dari jam 2.30 hingga 5 petang.