Oleh:Nazialita Geynna Maharan

 

SUNGAI SIPUT: Di kesibukan penganut agama Hindu di seluruh negara meraikan sambutan Thaipusam dalam suasana meriah golongan muda juga tidak melepaskan peluang untuk menyertai perayaan istimewa tersebut.

Seawal 6 pagi, lebih daripada 2,000 pelajar dari sekitar Sungai Siput termasuk golongan ibubapa berkumpul di Sekolah Rendah Tamil (SJKT) Mahatma Ghandi Kalasalai untuk menunaikan kewajipan bersama rakan-rakan sekolah.

Lengkap berpakaian tradisional, kesemua pelajar itu kelihatan girang berjalan kaki sejauh 2.5 kilometer ke Kuil Subramaniar dengan membawa belanga berisi susu lembu.

Justeru, kesempatan itu diisii dengan bermanfaat oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta gabungan badan bukan kerajaan (NGO) dan pihak sekolah untuk menerangkan cara-cara meraikan Thaipusan dengan selamat dan teratur.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Deputi Superintenden Pamneswaran Arumugam berkata matlamat sebenar perlaksanaan program itu adalah pengisian keselamatan kepada penganut Hindu khususnya anak-anak muda.

Katanya, kempen itu juga bertujuan mengalakkan pelajar di Sungai Siput untuk memanfaatkan perayaan Thaipusam dengan melakukan doa bagi tujuan kesihatan ibubapa dan keluarga malah kecemerlangan akademik mereka masing-masing.

“Setiap tahun, pihak polis akan hadir di sekitar Sungai Siput untuk memberi jaminan keselamatan baik lalu lintas mahupun yang menjurus kepada kesedaran cegah jenayah selama dua hari berturut-turut.

“Ini kewajipan hakiki kami, namun saya percaya, konsep mencegah jenayah dan penerangan mengenai peraturan perarakan Thaipusam mengikut tatasusila yang betul perlu disemai kepada anak muda bermula di bangku sekolah.

“Dengan cara ini, secara tidak langsung mereka menunaikan adat resam dan budaya yang dipraktikkan selain mengetahui undang-undang dan peraturan yang ditetapkan Persatuan Hindu Sanggam Malaysia serta persatuan-persatuan agama di negara ini,”katanya ketika ditemui Suara Perak di Kuil Subramaniar, dekat sini pada Rabu.

Menurut Pamneswaran, adalah amat penting untuk golongan dewasa memupuk sikap kesederhanaan dalam mengamalkan ajaran agama masing-masing khususnya di kalangan anak muda terhadap kehidupan dalam komuniti majmuk.

“Kita perlu sentiasa  berpegang kepada agama, kerana ianya adalah benteng, perisai dan tulang belakang kepada personaliti agar anak muda kita hari ini tidak mudah terjerumus dalam gejala sosial seperti penyalahgunaan dadah dan jenayah,”katanya lagi.

thaipusam_ipohSementara itu, G Karthires, 17, berasa amat teruja kerana berpeluang mengikuti kempen Thaipusam bersama IPD Sungai Siput itu buat pertama kalinya.

Karthires berkata pengalaman berarak bersama rakan-rakan dalam Hari Thaipusam itu bukan sahaja membuatkannya bersemangat malah lebih rapat dengan rakan sekolahnya.

“Selama ini kami lebih banyak bermain, ketawa bersama di sekolah tapi memang unik perasaannya bila kami yang seagama berarak di Thaipusam, memohon kepada Dewa Murugan untuk keputusan baik dan kecemerlangan akademik.thaipusam_ipoh 4

“Saya harap, tahun depan program ini akan diteruskan agar persahabatan sesama pelajar lebih erat, mempelajari adat resam dan budaya malah tahu mana betul dan yang tidak disyorkan mengikut undang-undang,”katanya kepada Suara Perak.

Karthires, yang ditemani rakan karibnya, K Sharwina,17, kelihatan amat gembira dengan kehadiran kedua ibubapa yang sama-sama mengambil bahagian selain memberi panduan kepada dirinya serta rakan-rakan mengenai tatasusila berarak dan berdoa ketika meraikan Thaipusam.

thaipusam_ipoh 3