ALOR SETAR: Komuniti Orang Kurang Upaya (OKU) menggesa kerajaan menilai semula cadangan golongan transgender atau pondan menggunakan tandas yang dikhususkan untuk OKU kerana ia disifatkan sebagai merampas hak mereka.

Bagi OKU berkerusi roda, Abdul Malik Said, 35, berkata kenyataan itu sedikit sebanyak mengguris hati golongan senasib dengannya selepas kebanyakkan premis dan bangunan gagal memenuhi kemudahan untuk mereka.

“Ini tandas pula, jika golongan ini ada yang menghidap penyakit berbahaya, kami lebih mudah terdedah untuk dijangkiti kerana antibodi kami yang lebih lemah berbanding orang normal.

“Jika kami tidak diberi kemudahan secukupnya tapi janganlah rampas hak kami pula, gunalah tandas lelaki dan wanita mengikut fitrah asal,” katanya yang ditemui, hari ini.

Bagi OKU wanita, Siti Nor Azizah Abdul Aziz, 29, berkata dia bimbang sekiranya komuniti yang “sempurna sifat” itu, memberi ancaman keselamatan buat mereka.

Katanya, tandas OKU hanya akan dikongsi oleh lelaki dan wanita kurang upaya tetapi bukan dengan lelaki yang sihat dan kuat.

“Saya tidak setuju dengan cadangan kerajaan, saya seorang wanita yang kurang upaya dan sentiasa mengharapkan bantuan orang lain, jika mahu berkongsi dengan ‘lelaki’, saya rasa tidak selamat.

“Sekiranya wanita normal sendiri boleh meluahkan rasa bimbang mengenai transgender menggunakan tandas mereka, bagaimana dengan kami, tentu kami lebih bimbang berbanding orang normal,” katanya.

Amin Ridzuan Che Mohamad, 31, pula berkata kerajaan harus lebih tegas dalam menangani isu transgender berikutan mereka hanya mempunyai masalah naluri yang kemudiannya dizahirkan menerusi watak, pakaian dan fizikal mereka.

“Malaysia yang diwar-warkan sebagai negara Islam, adalah lebih baik mengikut landasan yang ditetapkan agama dan pasti masalah itu dapat diselesaikan tanpa “mengorbankan” keistimewaan komuniti OKU,” katanya.

NSTP semalam melaporkan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh menyarankan agar golongan transgender menggunakan tandas OKU sebagai pilihan ketika berada di tempat awam sementara kerajaan berusaha mengatasi isu berkenaan – berita harian