IPOH: Selepas lima tahun bertapak di Bandar Meru Raya di sini sebagai butik vendor terbesar di negeri Perak, Gondola31 menggorak langkah melebarkan sayap baharu dengan melancarkan ‘Snacklicious Corner’ hari ini.

Ruang istimewa yang beroperasi di aras satu butik itu menawarkan lebih 32 variasi snek lazat keluaran 12 usahawan kecil dan sederhana (IKS) tempatan khususnya sekitar negeri Perak.

Menurut salah seorang Pengasas Gondola31, Nizam Baharudin, sebelum ini butik Gondola31 memberi peluang kepada pencinta fesyen memiliki koleksi pakaian, kasut dan aksesori daripada 50 jenama popular lokal hanya di bawah satu bumbung.

“Bagaimanapun, mulai hari ini (25 September) pengunjung bukan sahaja membawa pulang seleksi fesyen pilihan, bahkan berpeluang membeli snek lazat yang dijual pada harga berpatutan untuk dinikmati seisi keluarga,” katanya pada Majlis Pelancaran ‘Snacklicious Corner’, hari ini.

Perasmian disempurnakan Pengerusi Kelab Usahawan Bandar Meru Raya Perak, Nassry Mardee Ismail.

Nizam berkata, sebagai pelopor yang menyediakan platform kepada kelompok usahawan memasarkan produk fesyen di Perak, Gondola31 juga terpanggil untuk menerapkan konsep sama bagi menyokong industri snek dan makanan ringan.

“Lagipun idea untuk membuka ‘Snacklicious Corner’ ini tercetus selepas melihat kegilaan masyarakat yang begitu cenderung membeli produk makanan termasuk snek secara dalam talian (online) sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuatkuasa,” ujarnya.

Tambah Nizam yang mengusahakan Gondola31 bersama rakan kongsi, Norazura Md. Posdzi, selain kerepek ubi, kerepek bawang dan rempeyek, ‘Snacklicious Corner’ juga menawarkan snek lain.

Antaranya ialah sambal cheese Korea, tart Cadburry, biskut kelapa legend, salmon skin dan kerepek kentang berperisa termasuk kuih gunting, dodol, peneram, cookies leleh dan popcorn.

Butik vendor Gondola31 ditubuhkan pada 2015oleh Nizam Baharudin dan Norazura Md. Posdzi yang merupakan anak jati negeri Perak.

Selain berkonsepkan membeli-belah di bawah satu bumbung, signatur utama butik vendor Gondola31 juga terletak pada pemilihan dekorasi tersendiri.

Bagi menampilkan kelainan Gondola31 menggunakan rak, perabot dan kekemasan berasaskan kayu palet berkualiti.

Pada masa sama, turut menampilkan susun atur dan hiasan yang lebih eksklusif serta santai.

Inisiatif itu adalah untuk menyuntik mood selesa kepada pengunjung yang hadir membeli-belah bersama keluarga dan teman.