IPOH: Program membersihkan tanah perkuburan lama menjadi fokus utama buat penduduk di Kampung Kuala Punti, Lahat di sini dalam menyambut Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini.

Kelainan yang dipamerkan oleh penduduk kampung ini menerusi Gotong-Royong Merdeka dengan membersihkan Tanah Perkuburan Kuala Punti juga boleh dijadikan contoh kepada masyarakat lain.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam dan Penerangan negeri, Mohd Akmal Kamarudin, tanah perkuburan lebih 100 tahun itu juga dikatakan bersemadinya orang kenamaan pada suatu ketika dahulu.

“Difahamkan tanah perkuburan ini lebih 100 tahun iaitu sejak tahun 1910, hari ini saya bersama-sama dengan penduduk kampung di sini datang untuk membersihkan kubur dan dipercayai ada beberapa orang kenamaan yang dikebumikan di sini.

“Sekarang sedang di dalam kajian daripada pakar sejarah untuk mengenalpasti siapa orang orang besar yang dikebumikan di tanah perkuburan seluas lima ekar ini.

“Selepas ini kita mengarahkan supaya Jawatankuasa Tanah Perkuburan ditubuhkan segera untuk memudahkan pihak MAIPk dan kerajaan negeri membantu mereka dari segi prasarana seperti pagar,longkang dan sebagainya,” katanya.

Mohd Akmal berkata demikian pada program Gotong-Royong Merdeka di Kampung Kuala Punti, Lahat di sini pada Ahad.

Lebih 200 orang penduduk kampung menyertai gotong-royong tersebut yang bermula pada jam 8 pagi.

Ujarnya, pendekatan yang diambil oleh penduduk kampung itu wajar menjadi contoh di tempat lain.

“Di tempat lain biasanya sambut Hari Kebangsaan dengan Kayuhan Merdeka dan lain-lain, tetapi penduduk di sini memilih untuk membersihkan kubur.

“Kita lihat ada tanah perkuburan yang tidak dibersihkan, berilah sedikit masa untuk anjurkan bersihkan kubur nenek moyang kita juga, serta mereka yang banyak berjasa kepada negara satu ketika dahulu,” katanya.