KUALA LUMPUR : Gabungan Parti Sarawak (GPS) hari ini mengemukakan nama Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri kelapan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Whip GPS merangkap Ahli Parlimen Petra Jaya, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau memaklumkan perkara itu ketika beredar dari pekarangan Istana Negara, sebentar tadi.

“Saya menulis nama Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri.

“Tiada perbincangan, cuma isi borang siapa yang hendak dipilih sebagai Perdana Menteri,” katanya yang meninggalkan pekarangan Istana Negara menaiki kenderaan Toyota Vellfire jam 4.50 petang.

Beliau antara 90 Ahli Parlimen yang dititah menghadiri sesi pertemuan secara bersemuka dengan Yang di-Pertuan Agong bertujuan menentukan sokongan kepada pihak tertentu bagi membentuk kerajaan baharu.