SIMUNJAN : Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, hari ini mengulangi pendirian pakatan empat parti yang membentuk kerajaan negeri itu, tidak akan bekerjasama dengan DAP.

Beliau yang juga Ketua Menteri, menegaskan pendirian berkenaan kerana DAP berniat tidak baik dan membuat pelbagai tuduhan terhadap kerajaan negeri ketika parti berpangkalan di Semenanjung itu menjadi sebahagian daripada kerajaan di peringkat Persekutuan sebelum ini.

“Kita tidak dapat bekerjasama dengan DAP kerana mereka berniat tidak baik dan telah menuduh Sarawak akan bankrap,” katanya pada Sesi Townhall Berambeh Ngan CM Abg Jo di Dewan Terbuka Kampung Gedong sempena Karnival Today For Tomorrow (T4T) anjuran Sarawak Volunteers di sini, hari ini.

Abang Johari mendakwa, banyak projek infrastruktur Sarawak telah ditarik balik, antaranya pembinaan jambatan yang menghubungkan sepanjang kawasan pesisir pantai negeri ini sehingga memaksa kerajaan negeri menggunakan dana sendiri untuk melaksanakan projek-projek itu.

“Mereka (DAP) Sarawak minta tolong dan merayu perkara yang lepas dilupakan Mana boleh dilupakan begitu sahaja, mereka sudah kata negeri akan bankrap, projek untuk negeri telah ditarik balik,” katanya.

Selain itu, Abang Johari mendakwa, pemimpin DAP juga hampir menyebabkan masyarakat di Sarawak berpecah-belah menerusi penubuhan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Persekutuan (MPKKP).

GPS menggabungkan Parti Pesaka Bersatu Sarawak (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Progresif Demokratik (PDP) dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) yang menyumbang keseluruhan memiliki 19 kerusi di Dewan Rakyat.

Sebelum ini, Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Dr James Masing, dilaporkan berkata, GPS tidak akan menyokong gabungan politik yang membabitkan DAP berikutan krisis politik yang berlaku.

Terdahulu pada 29 Februari lalu, Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen dilaporkan berkata, parti itu sedia bekerjasama dengan GPS bagi mengekalkan kerajaan PH yang ketika itu berdepan kemelut berikutan keputusan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) keluar pakatan itu.