IPOH – Gua Tambun yang menyimpan lukisan pra sejarah batu dinding berusia lebih 3,000 tahun akan ditutup sementara bagi memberi laluan kerja menaik taraf dan pembersihan dilakukan.

Exco Kerajaan Negeri, Tan Kar Hing berkata, keputusan itu dibuat bagi memastikan gua berkenaan selamat untuk dikunjungi selepas pemeriksaan mendapati, terdapat kelonggaran dalam urusan penjagaan gua terbabit.

Menurutnya, meskipun gua berkenaan di bawah bidang kuasa Pejabat Daerah dan Tanah Kinta, namun sehingga kini, tidak ada mana-mana agensi dilantik sebagai ‘caretaker’.

“Notis penutupan telahpun kita pasang di laluan masuk gua terbabit dan saya tidak boleh jangkakan hingga bila, namun kita cuba selesaikan segala kerja tapak ini secepat yang mungkin.

“Antara kerja tapak yang dilakukan termasuklah membersihkan laluan masuk ke gua, membaik pulih lantai konkrit dan pemasangan papan tanda penerangan untuk ciri keselamatan pengunjung,” katanya pada sidang media, hari ini.

Beliau berkata, pada 2015, kerajaan melalui Jabatan Warisan Negara menyediakan peruntukan RM27,000 bagi pembersihan gua itu dan RM50,000 lagi bagi kerja pemasangan pagar keselamatan serta tangga.

Namun katanya, ketiadaan ‘caretaker’ menjadikan lokasi itu terbiar dalam situasi penuh semak samun dan kerosakan.

“Kita telah minta Tourism Perak untuk menyediakan satu laporan holistik mengandungi pelan butiran dan aras selerak bagi perancangan yang lebih sistematik untuk Gua Tambun dengan melibatkan

kerjasama semua jabatan dan agensi antaranya Jabatan Mineral dan Geosains serta Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).

“Pelan ini termasuklah kerja pembersihan dan penjagaan secara berkala, jaminan keselamatan pengunjung juga kaedah terbaik bagi memulihara lukisan purba yang terdapat dalam gua itu,” katanya.

Kar Hing berkata, pihaknya mahu semua pelan butiran itu dapat dilaksanakan sebolehnya sebelum berlangsungnya pemasyhuran Geopark Lembah Kinta, dijadualkan Ogos ini – sinar