KUALA LUMPUR – Menteri Kewangan, Lim Guan Eng hari ini mencabar Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mengemukakan bukti yang beliau telah menyatakan bahawa penubuhan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Persekutuan (MPKKP) adalah senjata untuk menawan Sarawak.

“Saya tidak pernah menggunakan perkataan tersebut dan mencabar Abang jo mengemukakan bukti yang saya telah merujuk MPKKP sedemikian,” kata Guan Eng dalam kenyataan di sini.

Johari yang merupakan Ketua Menteri Sarawak ketika berucap dalam satu majlis di Sungai Maong berkata, beliau telah membaca mengenai MPKKP yang dijadikan senjata untuk menawan Sarawak.

“Ini Malaya cakap. Rahsia sudah keluar. Bila rakyat pecah belah mereka akan ambil alih Sarawak dan kalau mereka ambil alih semua minyak kita habis,” katanya.

Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP ketika mengulas lanjut menyifatkan Johari sebagai tidak ‘gentleman’ apabila cuba mengalihkan perhatian rakyat berhubung kerjasama Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang dipengerusikan beliau dengan Pas dan UMNO menerusi isu MPKKP.

Katanya, beliau sepatutnya menjelaskan pakatan tersebut kepada rakyat dan bukannya membangkitkan isu MPKKP sebagai senjata untuk menawan Sarawak semata-mata untuk  mengalih perhatian.

Guan Eng juga mendakwa cubaan mengalihkan isu itu tidak mampu menutup pakatan GPS dengan UMNO dan Pas dalam membentuk kuasa ketiga yang terdiri daripada 91 ahli parlimen yang akan hak asasi orang bukan Islam dan bukan Melayu di bawah Perlembagaan Persekutuan lenyap.

“Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah berkata bahawa BN, Pas dan sekutu di Sarawak dan Sabah akan bergabung untuk membentuk kuasa ketiga 91 ahli parlimen BN, yang akan menggerakkan kerajaan Persekutuan baharu.

“Pendekatakan pintu belakang ini oleh BN dan Pas yang telah ditewaskan pada pilihan raya umum 2018 adalah bahaya dan tidak demokratik untuk menjatuhkan kerajaan Pusat dengan membelakangkan mandat rakyat yang memilih kerajaan baharu di bawah Dr Mahathir Mohamad,” katanya.

Guan Eng juga mendakwa falsafah ekstrem oleh Pas dan UMNO dalam menyebarkan diskriminasi, ugutan, pembohongan serta kebencian terhadap masyarakat bukan Islam akan membawa kepada lima perkara iaitu:

  • Orang bukan Melayu atau bukan Islam tidak berhak menjawat jawatan menteri dalam Kabinet ;
  • Sekolah vernakular yang mengajar bahasa ibunda masing-masing akan ditutup;
  • Bukan Islam terutamanya Kristian tidak boleh berhimpun untuk upacara agama mereka;
  • Boikot produk dan perniagaan bukan Islam; dan
  • Melabelkan bukan Islam dan bukan Melayu yang menentang mereka sebagai babi, pengganas dan komunis.

Menurut Guan Eng, GPS sehingga kini masih gagal menjelaskan bagaimana kerjasama dengan Pas dan BN boleh membawa faedah kepada rakyat Sarawak.

Katanya, kerajaan baharu pimpinan Pas dan UMNO akan menjurus kepada lebih banyak rasuah dan pengurusan ekonomi yang tidak cekap sehingga menyebabkan gaji penjawat awam tidak mampu dibayar. – MalaysiaGazette