KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, akan dihadapkan dua lagi pertuduhan berkaitan tanah di Mahkamah Sesyen Butterworth, Jumaat ini.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharudin Wan Ladin, ketika sebutan kes rasuah Guan Eng yang didakwa meminta suapan bagi membantu sebuah syarikat dilantik melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang.

Wan Shaharudin berkata, pihak pendakwaan menyerahkan notis kepada Guan Eng, pagi ini, untuk memaklumkan mengenai dua pertuduhan ke atasnya mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan itu.

Seksyen itu adalah berkaitan kesalahan menyalahgunakan harta untuk kepentingan peribadi atau menyebabkan individu lain melupuskan sebarang harta.

Ia memperuntukkan hukuman maksimum penjara lima tahun dan sebatan serta boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, pertuduhan rasuah terhadap Guan Eng di Mahkamah Sesyen Butterworth pada 10 Ogos lalu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini, untuk dibicarakan bersama.

Pertuduhan itu ialah menggunakan kedudukannya menerima wang suapan berjumlah RM3.3 juta bagi membantu sebuah syarikat dilantik melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion.

Pertuduhan itu dibacakan semula kepada Guan Eng, hari ini, dan beliau mengekalkan pengakuan tidak bersalah.

Hakim Azura Alwi kemudian menetapkan 12 Oktober depan bagi sebutan semula kes.