KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengakui meluluskan 101 projek secara rundingan terus bernilai RM6.61 bilion ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH) dan menyifatkan ia perkara lumrah dan tidak bercanggah dengan peraturan kerajaan.

Katanya, bagaimanapun jumlah tersebut hanyalah mewakili empat peratus daripada keseluruhan nilai pembangunan atau 1.4 peratus berbanding keseluruhan perolehan sepanjang 22 bulan pentadbiran kerajaan sebelum ini.

“Ini adalah perkara lumrah, seluruh negara termasuk negara barat sekalipun melakukan perkara yang sama, harap mereka tidak main politik lagi.

“Perlu ditegaskan bahawa Kementerian Kewangan pada pentadbiran PH mengamalkan sistem tender terbuka selaras dengan Manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) iaitu kami menyatakan akan memastikan sistem tender terbuka digunakan dengan meluas dan telus, terutamanya dalam projek besar. Jelas di sini, tidak disebut bahawa tidak boleh menggunakan kaedah rundingan terus dalam keadaan tertentu,” katanya pada sidang media di Parlimen di sini hari ini.

Beliau turut meminta Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz agar mendedahkan senarai atau perincian projek rundingan terus pada era Barisan Nasional (BN), PH dan Perikatan Nasional (PN).

“Oleh itu saya mendesak Tengku Zafrul mendedahkan segera senarai penuh projek rundingan terus oleh pentadbiran BN, PH dan PN. Jangan fitnah, jangan suka baling batu sembunyi tangan.

“Saya hanya lulus (projek rundingan terus), serah kepada kementerian untuk laksanakan. Kenapa tiba-tiba jadi isu. Ia tak langgar janji PH, kita masih cakap serupa bikin,” katanya.