KUALA LUMPUR – Kementerian Kewangan menafikan pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) telah menyebabkan peningkatan kepada kos menjalankan perniagaan.

Menterinya, Lim Guan Eng berkata, beliau mahu melihat sendiri dapatan yang diperolehi daripada kaji selidik yang dijalankan oleh Persekutuan Pengilang Malaysia (FMM) dan Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) itu benar-benar mempunyai kaitan langsung dengan pelaksanaan SST atau dipengaruhi faktor lain.

“Saya tidak bersetuju (dengan dapatan tersebut) tetapi tidak menafikan memang ada masalah kerana kita telah memperkenalkan satu sistem percukaian yang baharu secara keseluruhannya.

“Saya tidak mengatakan tiada langsung peningkatan dalam kos menjalankan perniagaan tetapi ia sepatutnya lebih rendah berbanding (ketika) Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dilaksanakan.

“Lihat sahaja kepada kadar inflasi. Pada keseluruhan tahun 2018, inflasi hanya satu peratus sahaja berbanding ketika GST dilaksanakan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan ibu pejabat Razer Malaysia di sini hari ini.

Dengan itu, Guan Eng berjanji untuk bertemu dengan FMM bagi mendapatkan gambaran sebenar dan menyelesaikan isu tersebut.

“Saya ingin berjumpa FMM untuk melihat sendiri dari sumber rungutan tersebut kerana ianya tidak dijelaskan dalam bentuk angka.

“Apakah ini angka yang sama digunakan oleh kerajaan terdahulu?” katanya lagi.

Kaji selidik terbaharu yang dijalankan oleh FMM dan MIER mendapati kos menjalankan perniagaan di Malaysia meningkat sehingga 10 peratus selepas SST diperkenalkan pada September tahun lalu.

Menurut Presiden FMM, Datuk Soh Thian Lai, kira-kira 85 peratus pengilang Malaysia terpaksa menghadapi peningkatan kos pengeluaran disebabkan oleh SST pada separuh kedua 2018.-MalaysiaGazette