KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di sini, untuk proses pendakwaan berhubung kes projek terowong dasar laut di Pulau Pinang.

Setiausaha Agung DAP itu tiba jam 9.07 pagi ini di kompleks mahkamah itu dengan kenderaan berwarna coklat yang diiringi beberapa kenderaan lain serta motosikal polis.

Sebaik tiba di kompleks berkenaan, Guan Eng dikawal ketat dengan diiringi pasukan polis dan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum dibawa masuk ke bangunan mahkamah.

Ahli Parlimen Bagan itu dilihat memakai sut lengkap berwarna gelap, kemeja putih dan bertali leher merah.

Beliau kelihatan tenang ketika berhadapan dengan media serta orang ramai.

Turut hadir memberikan sokongan kepada Guan Eng termasuk Penasihat DAP, Lim Kit Siang; Pengerusi DAP, Tan Kok Wai dan Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, M Kulagesaran.

Kelihatan sama, Naib Presiden PKR, Datuk Dr Xavier Jayakumar; Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow;

Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy dan Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil. – BeritaHarian