PUTRAJAYA – Tiada lesen diperlukan untuk menerbangkan dron namun orang awam yang ingin menggunakan dron melebihi 20 kilogram dan dilengkapi kamera perlu mendapatkan kebenaran Jabatan Penerbangan Awam (DCA).

Ketua Pengarah DCA, Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman berkata, kebenaran berupa permit itu diperlukan agar objek berkenaan tidak disalahgunakan pihak-pihak tertentu.

“DCA tidak melarang penggunaan dron tetapi mengawal selia aspek operasi dron melalui peruntukan di bawah Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016 yang telah berkuat kuasa pada 15 April tahun lepas,” katanya kepada Bernama di pejabatnya di sini hari ini.

Azharuddin berkata, penggunaan dron boleh mengancam keselamatan awam berikutan ia mampu digunakan sebagai alat untuk membuat intipan kerana dilengkapi kamera.

“Sebagai contoh, dron juga mampu membawa bom sebagai senjata untuk melancarkan serangan di tempat tertentu seperti yang berlaku di kebanyakan negara yang berperang,” katanya.

Sebelum ini, DCA telah menyatakan selain Putrajaya, kawasan larangan penerbangan dron juga termasuk tempat-tempat sulit seperti Parlimen, Istana Negara, balai polis, penjara dan lapangan terbang.

Katanya, ini kerana dron yang diterbangkan di lapangan terbang boleh tersedut masuk ke dalam enjin kapal terbang dan merosakkan enjin malah amat berbahaya kerana boleh menyebabkan pesawat terhempas.

Beliau berkata, pengendali dron perlu mematuhi kawasan larangan dron dan dilarang menerbangkan dron melebihi ketinggian 400 kaki di atas permukaan bumi.

“Dron juga tidak boleh diterbangkan dalam lingkungan 50 meter berhampiran orang awam semasa pelepasan mahupun pendaratan,” katanya.

Azharuddin berkata, individu yang melanggar undang-undang yang ditetapkan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Beliau berkata, pertubuhan atau syarikat yang melakukan kesalahan di bawah peraturan itu pula boleh didenda tidak melebihi RM100,000, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya sedang berbincang dengan beberapa pihak untuk menggunakan dron sebagai perkhidmatan, antaranya perkhidmatan menghantar bungkusan (parcel) dan untuk penggunaan di ladang kepala sawit.

Katanya, DCA sedang mengkaji laluan yang sesuai bagi tujuan perkhidmatan-perkhidmatan tersebut bagi mengelakkan gangguan trafik di udara sebelum memberi kelulusan yang sepatutnya berdasarkan undang-undang khusus yang telah diperuntukkan.

“Kami juga sedang berbincang dengan agensi-agensi kerajaan termasuk Polis Diraja Malaysia mengenai tatacara penggunaan dron dalam perkhidmatan mereka,” katanya.

Pada 2015, negara digemparkan dengan tindakan individu menerbangkan dron berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Bagi DCA, perbuatan itu merupakan satu pencerobohan dan kesalahan mengikut Akta Penerbangan Awam 1969.

Sejak itu mana-mana pihak yang ingin menerbangkan dron perlu mendapatkan kebenaran DCA.

Bagi setiap permit kebenaran, pengendali dron hanya perlu menghantar surat permohonan berserta bayaran dari RM250 hingga RM1,000. – Bernama