IPOH – DAP Perak mengakui keputusan Pakatan Harapan untuk mengunakan satu logo, Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) telah mendapat pelbagai reaksi dari ahli akar umbinya sehingga ada yang menangis.

Pengerusinya, Nga Kor Ming berkata, walaupun segelintir mereka mempuyai pendapat sendiri mengenai keputusan berkenaan namun majoritinya menerima baik langkah terbabit.

“Sudah tentu kita menerima pelbagai reaksi dari penyokong tegar dan veteran kita, sesetengah daripadanya hingga menangis, ini kerana ramai yang tidak boleh menafikan roket (lambang DAP) berada di hati kebanyakkan orang termasuk hati saya juga.

“Namun kita adalah manusia biasa, kita mempunyai perasaan namun kadang-kadang misi itu lebih penting daripada emosi,” katanya pada satu sidang media khas di sini pada Sabtu.

Justeru itu, Kor Ming berkata ahli partinya itu kini mempunyai tugas yang besar untuk memperjelaskan agenda sebenar disebalik keputusan untuk menggunakan satu logo pada PRU-14 kepada para pengundi di negeri ini walaupun berdepan cabaran masa.

“Kita bersaing dengan masa ketika ini, tanggungjawab kita semua (Ahli dan Calon DAP) sekarang adalah untuk memperjelaskan kepada pengundi mengenai keputusan mengunakan satu logo ini.

“Ini adalah agenda utama perjuangan kami bahawa Malaysia mempunyai sistem dua parti, ini adalah langkah positif secara keseluruhannya kerana boleh memberi keyakinan kepada pengundi semua kaum,” ujarnya.

Dalam sidang media sama, beliau juga turut mengumumkan, Ketua Wanita DAP Perak dan juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Menglembu, Lim Pek Harr tidak akan bertanding pada PRU14 bagi memberi laluan kepada calon yang lebih muda.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Taiping itu juga memberitahu Pakatan Harapan Perak akan melancarkan manifestonya pada Selasa depan.