IPOH: Gabungan Penyokong Bolasepak Perak (TBG MOBS) mencadangkan agar pasukan yang akan mewakili Perak dalam saingan Liga Super menggunakan nama Perak FC.

Presidennya, Syamsul Baharin Putra Ahmad Shibi berkata, sehubungan itu, mereka menyokong usaha yang Presiden Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) membuat penjenamaan semula nama dari Perak FA ke Perak FC.

Menurutnya, Perak adalah nama keramat dan seharuskan pasukan yang mewakili negeri itu wajar menggunakan nama Perak.

Katanya, jika nama lain digunakan, dibimbangi ia akan mengelirukan generasi akan datang.

“Apa yang akan terjadi kepada kejuaraan yang kita miliki dahulu dalam kancah bolasepak Malaysia jika dinamakan pasukan atas nama yang selain daripada Perak,” katanya dalam memorandum sokongan kepada Presiden PAFA.

Ekoran program penswastaan kelab bola sepak Liga Malaysia, difahamkan pasukan yang mewakili Perak akan menggunakan nama Bos Gaurus FC.