IPOH, 18 DIS – Perak berharap kesemua 59 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dapat membelanjakan peruntukan RM200,000 yang diluluskan kepada mereka dengan sebaik mungkin.

Walaupun ia mungkin tidak mencukupi, kerajaan negeri berharap ia dapat memberi manfaat kepada rakyat di kawasan masing-masing.

Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad berkata, peruntukan itu akan diagihkan melalui dua cara, pertama dimasukkan terus ke dalam akaun pusat khidmat untuk dibelanjakan mengikut tatacara pengurusan kewangan.

“Satu lagi ialah wang yang disimpan di Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) untuk permohonan-permohonan bagi buat pembangunan.

“Contohnya seorang Yang Berhormat ingin membaiki kolah surau, contohnya RM20,000, dia kena tulis kepada UPEN untuk memaklumkan bahawa dia mohon untuk meluluskan peruntukan RM20,000 bagi membaiki kolah.

“UPEN akan meluluskannya dan menghantar waran tersebut kepada Pejabat Daerah dan Pejabat Daerah yang akan menguruskan projek tersebut,” katanya.

Beliau bercakap pada sidang media selepas Persidangan Dewan Undangan Negeri Perak ditangguhkan di pejabatnya di sini, hari ini.

Pada Rabu, ketika membentangkan Belanjawan 2021, beliau mengumumkam kerajaan negeri memperuntukan RM200,000 kepada kesemua 59 ADUN Perak yang membabitkan jumlah keseluruhan RM 11.8 juta.

Mengulas mengenai cadangan mewujudkan sebuah jawatankuasa khas mengenai pelantikan pegawai tertinggi di dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Saarani berkata, ia perlu dilihat kepada enakmen setiap GLC terlebih dahulu.

Menurutnya, setiap GLC mempunyai enakmen masing-masing yang perlu dipatuhi kerana ia digubal di Dewan Negeri.