JABATAN Perikanan Perak menahan dua lelaki kerana dipercayai menggunakan alat renjatan elektrik untuk menangkap ikan di Sungai Pinji, Tambun, di Ipoh, hari ini.

Pengarah Jabatan Perikanan negeri, Zaki Mokri berkata, dua pegawai penguatkuasa bergegas ke lokasi pada 11.30 pagi selepas pihak Pejabat Perikanan Daerah Kinta/Kampar menerima aduan daripada orang awam mengenai kegiatan dilakukan suspek berusia 41 dan 42 tahun itu.

Katanya, hasil intipan mendapati dua lelaki itu sedang memunggah peralatan elektrik yang digunakan untuk menangkap ikan ke dalam but kereta.

“Hasil pemeriksaan mendapati dua suspek berkenaan berjaya menangkap pelbagai jenis ikan yang keseluruhannya seberat 15 kilogram dengan nilai harga pasaran dianggarkan RM150.

“Pegawai berkenaan turut menemui beberapa peralatan elektrik untuk menangkap ikan termasuk dua rod yang digunakan untuk mengalirkan arus elektrik, dua bateri kereta, penyauk ikan,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas membuat laporan berhubung kes itu di Balai Polis Tambun, hari ini.

Zaki berkata, kedua-dua suspek berkenaan diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut dan Pegawai Penyiasat dari Jabatan Perikanan negeri turut hadir bagi melakukan siasatan kes itu.

“Siasatan diteruskan mengikut Kaedah-kaedah Perikanan (Sungai) Perak 1992.

“Kejadian sebegini adalah kes pertama berlaku di negeri ini dan kita meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan nelayan yang aktif menggunakan alat elektrik untuk menangkap ikan supaya tampil untuk memaklumkan perkara itu,” katanya.

Menurutnya, tindakan itu juga untuk memberi kesedaran kepada orang awam supaya tidak menggunakan peralatan yang dilarang untuk menangkap ikan seperti bahan letupan atau peralatan elektrik – hmetro