IPOH: Sekumpulan warga asing dikesan menyewa kediaman berpagar dan berpengawal di kawasan elit di sini, untuk menjalankan aktiviti judi atas talian bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Bagaimanapun, taktik mereka akhirnya terbongkar dalam serbuan pasukan Cawangan D7 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di sebuah rumah teres di Villa Garden, Sunway City, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz berkata, dalam serbuan itu, pasukan polis menahan tujuh individu termasuk dua wanita warga asing yang disyaki menjalankan kegiatan judi atas talian.

Katanya, serbuan itu dijalankan pada pada pukul 9.30 malam atas maklumat orang awam.

“Mereka yang ditahan terdiri daripada lima lelaki Indonesia berumur 24 hingga 38 tahun dan dua wanita Indonesia berumur 21 hingga 23 tahun.

“Modus operandi mereka adalah dengan mempromosi judi atas talian melalui aplikasi WeChat, Facebook dan mesej pesanan ringkas,” katanya di sini, hari ini.

Menurut Asmadi, kumpulan tersebut menawarkan pelbagai jenis permainan seperti Kiss, 918, Joker, Roulete, Kiss Kaya dan Newturn.

Katanya, mereka menyasarkan 150 hingga 200 pelanggan tempatan dengan transaksi harian mencecah RM15,000 yang dibuat secara atas talian.

“Premis itu disewa sejak Februari lalu dan mereka dibantu oleh seorang lelaki tempatan yang dipanggil sebagai Chow.

“Operator ditawarkan gaji di antara RM2,000 dan RM5,000 oleh sindiket berdasarkan jualan; semua keperluan peribadi dan makanan diuruskan oleh sindiket, mereka langsung tidak keluar rumah,” katanya.

Asmadi berkata, kesemua warga asing yang ditangkap itu masuk ke negara ini menggunakan pas lawatan sosial yang didapati sudah tamat tempoh.

Katanya, kesemua mereka direman pada Ahad lalu sehingga 7 November ini.

Menurutnya, mereka disiasat di bawah Seksyen 4 (1) (c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 iaitu mempromosi judi yang boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun dan denda jika sabit kesalahan.

“Selain itu, kes turut disiasat mengikut Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 yang memperuntukkan penjara tidak lebih lima tahun dan denda,” katanya.