SERI ISKANDAR: Seorang guru besar di Sekolah Kebangsaan (SK) Lambor kiri, dekat sini meninggal dunia selepas kenderaannya terbabas dalam kejadian berhampiran lampu isyarat Simpang Tiga jalan Seri Iskandar-Parit pada petang Isnin.

Dalam kejadian sekitar 6.55 petang itu, mangsa,Mohd Azizi Mohd Salleh, 50 dipercayai sedang dalam perjalanan dari Dewan Serbaguna Seri Iskandar menuju ke rumah di Kampung Tengah Parit, di sini sebelum terlibat dengan insiden yang meragut nyawanya.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superitendan Mohamad Zainal Abdullah berkata mangsa yang memandu kenderaan jenis Proton Waja itu dipercayai terbabas dan melanggar lereng bukit di lokasi kejadian.

“Siasatan awal mendapati bahawa mangsa ynag hendak balik ke rumah telah melanggar lereng bukit dan menyebabkan tiang lampu isyarat patah, sekaligus menyebabkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian,”katanya dalam satu kenyataan media di sini,hari ini.

Mohamad Zainal berkata mangsa berusia 50 tahun yang bertugas sebagai guru besar itu disahkan meninggal dunia di lokasi dan telah dihantar ke Hospital Changkat Melintang bagi tujuan bedah siasat.

“Siasatan di lokasi kejadian mendapati keadaan cuaca di lokasi baru sahaja lepas hujan dan jalan juga masih basah, kes akan disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987,”katanya lagi.