BAGAN DATUK : Guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), Muhammad Nor Imran Maula Abd Jalil yang dianggap sebagai wira kerana menyelamatkan empat remaja daripada lemas sebelum ini, menerima Anugerah Skim Tanah Pertanian Berkelompok pada petang Jumaat.

Anugerah itu disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam dan Penerangan, Mohd Akmal Kamarudin bagi mewakili kerajaan negeri, di samping itu sumbangan khas RM 7,000 turut diberikan sebagai jasa dan keberanian Muhammad Nor Imran menyelamatkan empat remaja hampir lepas itu.

Muhammad Nor Imran,31, yang bertugas sebagai guru KAFA di Sekolah Rendah Agama Rakyat Parit 25 Baroh, Tanjung Bayan, Hutan Melintang bersyukur terhadap penghargaan yang diberikan selain berharap supaya pemandu di jalan raya berhati-hati memandu dalam apa jua keadaan.

“Saya bersyukur kepada Allah atas penghargaan yang diberikan Menteri Besar,dan ini di luar jangkaan. Saya dedikasikan penghargaan ini kepada ibu bapa angkat saya, yang telah menjadikan saya insan seperti ini dan saya akan terus berbakti sepanjang saya hidup.

“Bila terjadi apa-apa, jangan menuding jari. Beri bantuan jika kita mampu tanpa hirau bangsa, agama dan status,” katanya.

 

Sementara itu, Mohd Akmal berkata, tindakan berani itu wajari dicontohi dan dijadikan contoh kepada masyarakat masa kini.

“Kita sendiri terkejut apabila mendapat makluman yang beliau sanggup mempertaruhkan nyawa untuk menyelamatkan mereka yang terhumban ke dalam tali air.

“Nor Imran bakal menerima dividen tahunan RM2500 di bawah Skim Usahawan Tani Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) bermula Jun ini,” katanya ketika menyerahkan sumbangan dan anugerah itu di Dewan Kuliah Masjid Aziziah Batu 10, Hutan Melintang pada Jumaat.

Pada 27 Mei lalu, tindakan Muhammad Nor Imran menyelamatkan sekumpulan remaja yang hampir lemas dan dihanyutkan arus di Kampung Teluk Sena, Kampung Gajah berhampiran Bota, tular di laman sosial dan mendapat perhatian daripada Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu.