KAMPUNG GAJAH: Seorang guru sekolah menengah dicekup polis kerana disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dadah dalam sebuah serbuan di Taman Changkat Lada Raya, dekat sini pada awal pagi Selasa

Dalam serbuan sekitar 12.45 tengah malam itu, pihak Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik telah menemui guru di sebuah sekolah menengah di Kampung Gajah itu sedang duduk di lantai bilik rumahnya.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata pemeriksaan lanjut menjumpai satu bekas plastik berwarna ungu yang di dalamnya berisi tumbuhan kering disyaki dadah jenis Cannabis.

“Selain dadah seberat 29.59 gram itu, polis turut menemui satu peket plastik berisi tembakau, seikat daun rokok dan gunting yang dipercayai merupakan peralatan untuk menghisap dadah,”katanya ketika dihubungi Astro Awani pada Selasa.

Mohamad berkata, ujian saringan awal air kencing mendapati guru berusia 45 tahun itu positif dadah jenis THC ( Tetra Hydrocannibol).

Jelasnya, guru berkenaan akan disiasat di bawah dua kesalahan iaitu memiliki dadah dan positif ujian saringan iaitu masing-masing di bawah Seksyen 39A (1) dan Seksyen 15(1), Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Serbuan yang dilakukan ke atas guru yang disyaki penagih dadah itu adalah berdasarkan risikan pihak kami sebelum ini dan tiada sebarang rekod lampau ditemui pada beliau.

“Pihak kami akan meneruskan siasatan berkenaan kes dari masa ke masa,”ujarnya lagi.