KUANTAN: Seorang guru berputih mata apabila kerugian RM30,000 diperdayakan sindiket Parcel Scam yang meminta mangsa membayar sejumlah wang dengan mendakwa barang dibelinya ditahan di Jabatan Kastam Diraja Malaysia Pulau Pinang kerana mempunyai tunggakan cukai.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintenden Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, kejadian bermula pada Mac lalu apabila mangsa berusia 37 tahun berkenalan dengan seorang wanita yang mendakwa tinggal di United Kingdom (UK) di laman sosial Facebook.

“Wanita terbabit meminta guru berkenaan melayari laman web www.creoclothing.co.uk sebelum mangsa berminat untuk membeli pakaian di situ. Mangsa kemudian membuat tempahan melalui ejen syarikat berkenaan di Malaysia beralamat di Pulau Pinang.

“Pada 10 April lalu, mangsa yang tinggal di Raub dihubungi oleh seorang wanita yang memaklumkan tempahan barangnya sudah sampai namun ditahan di kastam Pulau Pinang,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Beliau berkata, suspek meminta mangsa menjelaskan sebanyak RM30,000 nilai barang yang ditempah serta bayaran cukai dan upah yang dikenakan.

“Kelmarin, mangsa memasukkan duit sebanyak RM30,000 ke dalam akaun Maybank yang diberikan. Mangsa kemudian menghubungi suspek dan diberitahu bahawa barang berkenaan akan sampai keesokkan harinya (semalam).

“Bagaimanapun, pada semalam, mangsa menghubungi talian berkenaan, namun tiada jawapan sebelum membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub pada hari yang sama selepas berasa ditipu,” katanya.

Sementara itu, dalam kes berasingan seorang lelaki remaja lelaki berusia 17 tahun kerugian RM2,350 selepas diperdaya seorang lelaki dalam urusan jual belisyiling dan wang kertas lama.

Mohd Wazir berkata, kejadian berlaku pada 2 Mac lalu apabila mangsa menerima mesej di Instagram daripada seorang lelaki yang ingin membeli wang dan syiling lama miliknya dengan harga RM46,000.

“Bagaimanapun untuk mendapatkan wang RM46,000, mangsa memasukkan wang sebanyak empat kali transaksi sehingga berjumlah RM2,350.

“Selepas membuat bayaran, mangsa cuba menghubungi lelaki berkenaan tetapi gagal dan sehingga sekarang mangsa tidak memperolehi wang berjumlah RM46,000 seperti yang dijanjikan. Mangsa membuat laporan polis di IPD Kuantan, semalam,” katanya.

Katanya, kedua-dua kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan – berita harian