TELUK INTAN: Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menggariskan sekurang-kurangnya tujuh ciri untuk guru-guru mencapai tahap guru unggul.

Beliau berpendapat, tujuh ciri itu ialah:-

1. Menghormati pelajar dengan mendengar idea dan pandangan mereka.
2. Mempunyai rasa kepunyaan, bukan bertindak bersendirian.
3. Sentiasa mesra supaya mudah dihubungi dan prihatin nasib anak-anak murid.
4. Meletakkan harapan yang tinggi terhadap pelajar.
5. Sentiasa cinta kepada pembelajaran.
6. Pemimpin berkualiti dan mampu membuat keputusan.
7. Mempertahankan profesionalisma.

Dr Zambry berkata, antara aktiviti wajib yang mesti diadakan sepanjang program permukiman ialah perjumpaan dengan guru-guru untuk menyatakan penghargaan dan terima kasih kepada golongan yang dianggap hero tidak didendang.

“Cikgu adalah golongan yang cukup istimewa, khususnya bagi saya anak pulau kerana cikgu telah membentuk sikap dan pandangan saya mengenai masa depan,” katanya ketika bericap pada majlis perjumpaan Menteri Besar bersama warga pendidik sempena program Permukiman Menteri Besar di Daerah Hilir Perak di Sekolah Menengah Rahman Talib (SMART) di sini pada Rabu.

Dr Zambry berkata, usaha guru-gurulah yang telah melahirkan ramai pemimpin, baik di peringkat daerah, negeri, malah juga negara.

“Yang menjadi orang hari ini adalah hasil usaha guru-guru, terima kasih cikgu,” kata beliau.

Di majlis itu, Dr Zambry turut mengumumkan pemberian sumbangan RM230,000 kepada kelab guru yang terdapat di 76 buah sekolah di Daerah Hilir Perak.

Turut hadir Ahli Parlimen Teluk Intan, Datuk Seri Mah Siew Keong, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan, Exco Kerajaan Negeri, Datuk Nolee Ashilin dan Datuk Amin Zakaria serta ADUN Changkat Jong, Datuk Azhar Jamaluddin dan ADUN Temengor, Salbiah Mohamed.