GOMBAK: Seorang guru wanita menjadi mangsa ragut dua lelaki menunggang motosikal ketika berjalan sendirian di sebatang lorong di Seri Gombak, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 7.30 malam itu, mangsa dipercayai berusia lingkungan 30-an, dikatakan dihampiri suspek yang menunggang motosikal dari arah bertentangan dan memakai helmet.

Menurut sumber, pembonceng motosikal itu kemudian dikatakan turun lalu merampas beg tangan mangsa sebelum suspek memecut melarikan diri.

“Mangsa yang ketakutan terus melarikan diri ke kawasan sekitar kerana bimbang akan keselamatan diri,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Ali Ahmad, ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.

“Berdasarkan laporan diterima, mangsa memaklumkan kerugian lebih RM300 selepas beg tangannya diragut kedua-dua suspek berkenaan.

“Usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana melakukan jenayah ragut,” katanya.

Insiden berkenaan dirakamkan kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian sebelum video berdurasi 48 saat itu tular dalam media sosial sejak kelmarin – berita harian