SHAH ALAM : Hakim Mahkamah Sesyen dan timbalan pendakwa raya didakwa hari ini atas tuduhan menerima rasuah sebagai upah kerana hanya mendenda pendatang tanpa izin yang ditahan pihak berkuasa.

Hakim Azmil Muntapha Abas, 44, dan Timbalan Pendakwa Raya Khairul Azhwa Yusrie Mohamad didakwa atas pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Peguam Noor Amirul Nazreen turut didakwa secara bersama dengan kedua-dua tertuduh.

Ketiga-tiga mereka didakwa menerima RM17,500 daripada Wong Chiew Hoong sebagai upah untuk mendenda tujuh pendatang tanpa izin pada 17 Julai di Mahkamah Sesyen Kuala Kubu Bharu.

Hakim Rozillah Salleh menetapkan ikat jamin masing-masing sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan mereka menyerahkan pasport masing-masing.