IPOH: Tuduhan kononnya Pakatan Harapan (PH) berdiam diri semasa menjadi kerajaan dengan tidak mendedahkan masalah kewangan dihadapi Perak Corporation Bhd. (PCB) iaitu anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) adalah tidak benar.

Ketua Pembangkang Dewan Negeri Perak, Dr. Abdul Aziz Bari berkata, dakwaan Naib Presiden Putra, Datuk Hamidah Osman hanya bertujuan mahu mencari publisiti.

Menurutnya, semasa menjadi kerajaan selama 22 bulan, PH serius dan bersungguh-sungguh menangani isu taman tema Movie Animation Park Studios (MAPS) yang mengalami kerugian. 

“Saya cadangkan supaya Hamidah menyemak prosiding dalam setiap sidang Dewan Negeri Perak selepas PH membentuk kerajaan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Itu semua adalah gambaran betapa serius dan sungguh-sungguhnya PH dalam menangani isu MAPS,” katanya dalam kenyataan di sini.

Abdul Aziz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Tebing Tinggi berkata, Hamidah tidak perlu menyerang PH kerana itu hanya menguntungkan UMNO yang memang tidak mahu skandal itu didedahkan. 

Menurutnya, Hamidah sendiri tidak berbuat apa-apa setelah tersisih dari pentadbiran Datuk Seri Dr. Zambry Kadir.

“Hanya sekarang beliau mencari publisiti. Apa pun elok beliau membuat kajian teliti sebelum menyerang sesama pembangkang,” katanya.

Dalam sidang akhbar di sini semalam, Hamidah mendakwa anak syarikat PKNP, iaitu PCB kini berdepan masalah kewangan yang serius dan mungkin gulung tikar.

Hamidah turut mempertikai Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang tidak mendedahkan perkara itu.

Kata Hamidah, malah ahli politik pembangkang juga dilihat hanya berdiam diri mengenai perkara itu. – UTUSAN