IPOH: Bekas Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Hamidah Osman membayangkan untuk bersama Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) yang masih menunggu kelulusan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Hamidah berkata, beliau merupakan salah seorang Ahli Jawatankuasa penaja PUTRA yang diketuai Datuk Ibrahim Ali sebagai Presiden Penaja dan Tan Sri Khalid Yunus sebagai Timbalan Presiden Penaja.

Bagaimanapun, bekas Ketua Wanita UMNO Bahagian Batu Gajah itu berkata, beliau akan mengatur pertemuan dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi atau Setiausaha Agung, Tan Sri Annuar Musa, sama ada perlu beliau meneruskan perjuangan di dalam parti itu atau sebaliknya.

Hamidah menjelaskan, beliau sendiri telah menulis surat rayuan kepada Ibu Pejabat UMNO apabila melihat terdapat keperluan untuknya kembali kepada parti itu selepas Pilihan Raya Umum ke-14.

“Setelah saya menghantar surat rayuan, saya diminta hadir ke Lembaga Disiplin, saya hadir seminggu selepas ittu, tetapi selepas tiga bulan, tiada sebarang berita sama ada rayuan saya diluluskan ataupun dipertimbangkan atau dalam proses apa.

“Jadi apabila Datuk Ibrahim Ali datang berjumpa dan menjemput saya bersama-sama, saya memikirkan inilah platform lain untuk saya berjuang,” katanya pada sidang media di kediamannya di sini, hari ini.

Sejak minggu lalu, tular surat menyatakan bahawa penarikan balik pemecatan Hamidah diputuskan Jawatankuasa Panel Rayuan Lembaga Disiplin Umno Malaysia dan dipersetujui Majlis Tertinggi UMNO yang bersidang 27 Julai lepas.

Surat itu ditandatangani oleh Annuar Musa bertarikh 7 Ogos lalu.

Pada November 2015, bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pemecatan Hamidah daripada parti itu selepas mendapat keputusan sebulat suara Majlis Tertinggi parti kerana lantang mengkritik pentadbiran Najib.

Hamidah berkata, dalam senario politik kini, Malaysia memerlukan sebuah lagi parti politik baharu yang tiada permasalahan untuk menjadi pemantau dan menegur kerajaan sedia ada.

Menurutnya, selepas membuat pemerhatian terhadap UMNO dalam tempoh tiga bulan lalu, beliau tidak nampak pemulihan yang boleh dilakukan di dalam parti itu, sekaligus tidak mampu menjadi pembangkang yang kuat.