KUALA LUMPUR, 12 JAN : Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin disahkan dijangkiti COVID-19.

Menurut satu kenyataan Kementerian Dalam Negeri pada Selasa, Hamzah akan menjalani tempoh kuarantin mengikut saranan dan pemantauan rapat oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Sehubungan itu, semua kontak rapat Hamzah Zainudin bermula 8 Januari sehingga 11 Januari 2021 dimohon tampil ke pusat saringan Pejabat Kesihatan Daerah yang terdekat untuk melakukan saringan COVID-19.

“Datuk Seri Hamzah Zainudin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang telah mendoakan kesembuhan kepada beliau dan memohon maaf atas segala kesulitan yang timbul atas perkembangan ini,” jelas kenyataan media itu lagi.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun antara yang disahkan positif COVID-19. – AWANI