PARIT: Hanya sekitar 130,000 daripada 450,000 pekebun kecil getah yang berdaftar dengan Lembaga Getah Malaysia (LGM), aktif membuat tuntutan bayaran Insentif Pengeluaran Getah (IPG).

Menyedari peratusan ini sangat rendah, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata,
pihak LGM telah menjalankan kajian untuk mengetahui puncanya.

Menurutnya, hasil kajian itu LGM mengambil inisiatif membangunkan aplikasi telefon pintar RRIMniaga untuk merekodkan urus niaga getah.

“Melihat kepada tak ramai yang membuat tuntutan, dengan andaian sebahagian saja yang menoreh, maka kita gerakkan projek untuk memperkenalkan RRIMniaga ini yang kita nampak akan memberi kebaikan yang besar kepada para pekebun kecil kita.

“Kerana itulah kita terlalu bersungguh untuk mempromosikan RRIMniaga ini dan mendapat sambutan yang sangat baik,” katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan Program Aplikasi RRIMNiaga Tingkatkan Insentif Pengeluaran Getah di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di Seri Iskandar, dekat sini, hari ini.

Menurutnya, sebanyak RM368.8 juta bayaran tuntutan Insentif Pengeluaran Getah (IPG) telah dibuat melalui Lembaga Getah Malaysia sehingga 31 Ogos lalu.

Manakala bagi tempoh lapan bulan pertama tahun ini, LGM telah memproses lebih setengah juta permohonan tuntutan IPG dan telah membuat bayaran lebih RM126 juta.

Menurut Khairuddin, pekebun kecil akan mendapat manfaat IPG kerana sistem RRIMniaga akan merekod transaksi pembelian dan terus menjanakan resit pembelian secara elektronik manakala bayaran IPG akan dimasukkan terus ke akaun bank pemohon yang layak.

Katanya, kementerian telah mengarahkan semua pelesen getah menggunakan aplikasi tersebut dan penggunaannya akan diwajibkan mulai 1 Januari 2021.